JELI, 20 Mei 2025 – Dua lelaki warga Indonesia ditahan dalam serbuan bersepadu oleh pihak polis dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di sini kelmarin, selepas disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas haram.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta permit perlombongan sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Suspek berusia 30 dan 32 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan perlombongan, termasuk sebuah jentera excavator, janakuasa, dan mesin palong yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram itu.
Tambah Kamarulzaman, siasatan berhubung aspek perlombongan tanpa lesen diserahkan kepada pihak PTG untuk tindakan lanjut.
Pihak polis, katanya, akan terus mempergiatkan operasi di kawasan sempadan bagi membanteras sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan, serta kegiatan haram yang boleh mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
“Kita komited untuk memastikan kawasan sempadan bebas daripada aktiviti haram termasuk perlombongan tanpa kebenaran,” tegasnya.
Post a Comment