Pelakon popular Ben Amir secara terbuka mengakui hatinya kini telah dimiliki seorang wanita warga Filipina yang dikenalinya sejak dua tahun lalu.
Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, walaupun sedang menjalinkan hubungan istimewa, mereka masih belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Mana-mana lelaki yang menjalinkan hubungan mesti mahu melangkah ke fasa seterusnya, tetapi tidak perlu terburu-buru.Buat masa ini saya hanya ‘go with the flow’,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code di GSC Midvalley, malam Rabu.
Ben turut menafikan keputusannya berhijrah ke Filipina adalah semata-mata kerana kekasihnya itu. Sebaliknya, keputusan itu dibuat demi mencari kehidupan baharu dan mencabar diri di luar zon selesa.
“Saya memang sudah lama merancang untuk berhijrah ke Filipina. Bukan sebab seseorang tetapi ingin mencari kehidupan baru.Sebagai lelaki, memang perlu sentiasa meningkatkan diri dari segi kerjaya dan mental.”
Kini menetap di Pulau Siargao, Ben dalam perancangan membuka sebuah restoran dan villa, sekali gus mengembangkan kerjaya sebagai ahli perniagaan.
Meskipun kini menetap di luar negara, Ben menegaskan dirinya masih aktif dalam dunia lakonan sekiranya menerima tawaran bersesuaian.
“Saya rasa keputusan berhijrah ke Filipina adalah salah satu cara untuk upgrade. Saya mahu mencabar kemampuan diri.Bukan senang, lebih-lebih di negara orang. Tapi ini cabaran yang saya suka.”
Dalam perkembangan lain, Ben bakal muncul di layar perak menerusi filem Gantung: Musketeer Code, adaptasi novel popular terbitan Fixi karya Nadia Khan. Filem ini turut dibintangi oleh Ikmal Amry, Hafreez Adam, Brandon Salim, Shazia Rozaini dan Taufiq Hanafi, dan dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.
Post a Comment