Gangguan makhluk halus seperti jin asyik bukanlah perkara main-main, bahkan mampu menggugat kehidupan rumah tangga seseorang. Itulah yang dialami oleh seorang wanita yang hanya dikenali sebagai @minazaini, apabila dia berkongsi pengalaman mistik yang menghantuinya sejak zaman bujang lagi.
Menurut perkongsiannya di media sosial, gangguan tersebut berlarutan walaupun sudah berkahwin, termasuk simptom seperti mimpi aneh, period tidak teratur, senggugut teruk, badan lebam-lebam, dan pergaduhan kecil yang berakhir dengan permintaan cerai hampir setiap hari.
“Kami pernah berubat sebelum ini dan ustaz kata kami terkena sihir pemisah. Tapi saya tetap rasa ada ‘sesuatu’ yang belum selesai,” katanya.
Segalanya berubah selepas dia secara tidak sengaja bertemu dengan Ustaz Shafiq Mujahid, yang kemudian mencadangkan supaya dia dan suami menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Prai, Pulau Pinang.
“Masa ujian pertama, ustaz bacakan ayat ruqyah. Jika ada gangguan jin, jari kiri akan bergerak sendiri. Dan memang jari saya bergerak perlahan tanpa saya kawal,” jelasnya.
Menurut perawat, wanita itu bukan terkena sihir tetapi diganggu oleh jin asyik iaitu makhluk yang terpaut kepada seseorang kerana cinta dan nafsu.
Sesi rawatan itu disifatkan sebagai sangat berat secara fizikal dan emosi, termasuk momen ketika jin dalam tubuhnya cuba dipujuk untuk keluar, lalu dia diminta melafazkan ikrar pemutus perjanjian saka atau sihir.
“Lepas baca ikrar, saya terus muntah sekuatnya. Lepas itu, saya rasa sangat ringan… sunyi dan tenang. Macam lepas beban bertahun-tahun,” katanya.
Selepas rawatan, beliau turut mendapat pengesahan daripada ibunya bahawa mereka berasal dari keturunan Raden, dan menurut perawat, jin sering tertarik dengan darah keturunan mulia atau berdarah raja.
Wanita ini menasihatkan orang ramai agar tidak memendam perasaan jika berdepan dengan gangguan emosi yang pelik, mimpi aneh, atau ketidakstabilan dalaman.
“Kalau kau rasa tak stabil, mimpi pelik, emosi tak terkawal… tolong jangan simpan sorang-sorang. Ikhtiar. Cari ustaz. Cari jalan,” pesannya penuh emosi.
Post a Comment