TENOM, 20 Mei 2025 – Barisan Nasional (BN) kekal terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik yang berkongsi matlamat pembangunan negara dan penyatuan rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri menegaskan, walaupun BN telah memeterai kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, pintu rundingan tetap dibuka kepada rakan politik yang sehaluan dan jujur dalam perjuangan.
"Kita tidak pernah tertutup, tetapi jangan buka seluas-luasnya… kerana ada ‘musang berbulu ayam’ yang masuk untuk merosakkan rumah kita,” katanya dalam ucapan perasmian Program Gerak17 UMNO DUN Kemabong, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ahmad Zahid menyatakan, landskap politik global kini menunjukkan trend pembentukan kerajaan menerusi kerjasama pelbagai parti, bukan dominasi tunggal.
"Kajian saya menunjukkan, di 77 negara, kerajaan tidak dapat dibentuk secara dominan oleh satu parti sahaja. Maka, kita perlu belajar berkongsi kuasa demi penyatuan dan kestabilan politik negara,” jelasnya.
Menurut beliau, kerjasama antara BN, PH dan parti-parti yang berkongsi hala tuju politik adalah jalan terbaik bagi menghadapi pilihan raya dengan semangat konsensus, bukan perpecahan. Ahmad Zahid turut menyeru semua bahagian UMNO di Sabah agar memperkukuh gerak kerja secara bersama demi memastikan kemenangan dalam PRN17.
"Kita mahu semua bahagian bantu-membantu, bersatu tenaga untuk memastikan kemenangan calon-calon yang mewakili gabungan ini,” katanya.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan penegasan bahawa keutamaan BN kini adalah membina kekuatan dalaman, menyantuni rakyat, dan bersedia dengan strategi jelas menjelang pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Post a Comment