KANGAR, 20 Mei 2025 – Seorang wanita warga Thailand maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas motosikal yang mereka tunggangi bertembung dengan sebuah treler di bawah jejambat Padang Besar, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, berkata mangsa, Patcharee Nunim, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 6.30 petang oleh pegawai perubatan. Anak mangsa yang berusia 15 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut siasatan awal, kejadian berlaku pada jam 6.05 petang, apabila treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dari arah Padang Besar membelok ke kanan di bawah jejambat menghala ke Chuping, ketika lampu isyarat berwarna kuning.
“Motosikal mangsa dari arah Kompleks ICQS Padang Besar menuju ke FELDA Rimba Mas. Semasa treler membelok, berlaku pelanggaran menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” jelas Mohd Shokri.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat, manakala pemandu treler berkenaan telah direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara dan denda sekiranya sabit kesalahan.
“Hasil ujian air kencing terhadap pemandu treler yang mempunyai satu rekod jenayah lampau mendapati dia negatif dadah,” tambahnya.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama di kawasan persimpangan dan jejambat yang sering menjadi lokasi berisiko tinggi kemalangan.
Post a Comment