MELAKA, 20 Mei 2025 – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas lima pertuduhan jenayah seksual termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Zulfikar Ishak, 32, yang juga bapa kepada seorang anak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut fakta kes, semua perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 4 Mei lalu, di dalam sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan di kawasan parkir pasar raya di Cheng, Melaka.
Butiran Pertuduhan
- Pertuduhan Rogol – Di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
- Dua pertuduhan Amang Seksual Fizikal – Di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK). Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
- Pengantunan (grooming) – Di bawah Seksyen 12 AKSTK 2017, kerana berkomunikasi dengan mangsa untuk tujuan seksual. Boleh dipenjara hingga lima tahun dan disebat.
- Berjumpa Mangsa Selepas Pengantunan – Di bawah Seksyen 13 AKSTK 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat.
Pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, mencadangkan jaminan RM90,000 dengan syarat tertuduh perlu:
- Melapor diri di balai polis setiap bulan,
- Tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi.
Peguam bela SS Amritpal Singh merayu jaminan rendah atas faktor tertuduh berkhidmat lebih 10 tahun dalam tentera, merupakan penanggung tunggal keluarga, serta tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan bersama syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Jun 2025 bagi serahan dokumen.
Post a Comment