KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarahkan mengambil tindakan segera untuk merampas dan menyita semua bentuk iklan berkaitan produk vape, termasuk di papan iklan fizikal, digital mahupun LED.
Arahan tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Tindakan penguatkuasaan itu adalah selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan berkaitan produk rokok elektronik atau vape.
“Kerajaan Negeri Selangor ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang,” tegas Jamaliah.
Beliau memetik data Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, yang menunjukkan 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun di Malaysia adalah pengguna vape – satu angka yang sangat membimbangkan.
Jamaliah turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan pengharaman penjualan vape di Selangor. Mesyuarat itu dihadiri oleh:
- Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin
- Wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)
- Wakil-wakil PBT & Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, isu perundangan, serta jualan dalam talian yang sukar dikawal dan sering menjadi saluran utama kepada remaja untuk mendapatkan vape.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam akan mengadakan mesyuarat lanjutan dalam masa terdekat untuk meneliti pilihan dasar yang bersesuaian, sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan.
“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan peranan aktif ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan ini benar-benar berkesan dan mampan,” kata Jamaliah lagi.
Post a Comment