Pemandu Lori Didakwa Sebabkan Kematian Penunggang Motosikal

 


KUALA LANGAT, 20 Mei 2025 – Seorang pemandu lori 10 tan yang tular berikutan kemalangan maut melibatkan seorang pekerja syarikat kurier, mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Langat hari ini.


Tertuduh, S. Mohanatas, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda SelamatMengikut pertuduhan, Mohanatas didakwa memandu secara cuai dan di bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohd. Nazri Samsuri, 43, dalam kejadian di KM13, Jalan Banting–KLIA, pada 14 Mei lalu sekitar jam 12.30 tengah hari.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.


Peguam tertuduh, T. Mishant, dalam rayuan mitigasi memohon jumlah jaminan direndahkan kepada RM3,000, dengan alasan anak guamnya berpendapatan hanya RM1,800 sebulan, sudah berkahwin, namun belum mempunyai anak. Bagaimanapun, semasa disoal Majistret, tertuduh mengakui tidak memiliki lesen memandu.


Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan:

  • Melapor diri di balai polis berhampiran
  • Tidak mengganggu saksi dan keluarga mangsa


Menurut laporan sebelum ini, Mohd. Nazri maut di tempat kejadian selepas dilanggar dari arah belakang oleh lori yang dipandu tertuduh semasa beliau berhenti di lampu isyarat merah. Mangsa tercampak dan terperosok di bawah lori.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi, mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jun 2025 bagi serahan laporan bedah siasat, kimia dan patologi.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post