Lelaki Dikesan Curi Tabung Surau

 


KUALA LANGAT, 20 Mei 2025 – Polis sedang mengesan seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an yang disyaki mencuri wang dari tabung sebuah surau di Teluk Panglima Garang, dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang penduduk tempatan selepas mendapati tabung surau berhampiran tandas wanita telah dipecahkan.


“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai memecahkan tabung berkenaan dan melarikan wang di dalamnya. Anggaran kerugian dianggarkan sekitar RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Rakaman yang tular menunjukkan suspek menaiki motosikal, masuk ke kawasan surau, memasuki ruang solat, sebelum duduk di sebelah tabung dan memecahkannya dari bahagian bawah.


Susulan laporan yang diterima, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Polis sedang giat mengesan suspek. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222,” ujar Mohd. Akmalrizal.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post