KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Irsyad Tarudin, 26, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, kini mencuri perhatian pendengar Suria FM sebagai suara baharu segmen malam Kafe Suria, yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Berkongsi kisahnya, Irsyad menyatakan minat terhadap dunia radio telah mula bercambah sejak zaman sekolah apabila menghabiskan masa satu jam setiap hari mendengar radio dalam perjalanan ke sekolah di Kulim.
“Penyampai radio mampu menceriakan hari pendengar, dan itu yang membuatkan saya tertarik dengan kerjaya ini,” kata Irsyad.
Walaupun sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM), Irsyad tidak pernah mengetepikan impian untuk menjadi penyampai radio.
Beliau pernah menjadi penyampai sambilan di sebuah stesen radio swasta bagi menimba pengalaman dan menambah pendapatan, selain turut memandu e-hailing sebagai pekerjaan sampingan.
Peluang besar muncul apabila beliau dipanggil menghadiri uji bakat di Suria FM bersama beberapa deejay dan pempengaruh lain. Menurut Irsyad, mereka diuji oleh dua nama besar Suria FM – DJ Lin dan Naim Hashim – namun ketika itu tidak dimaklumkan segmen apa yang ditawarkan.
“Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih mengendalikan segmen Kafe Suria,” katanya penuh syukur.
Irsyad turut menjadikan Feeya Iskandar (Cik Piah) dan DJ Lin sebagai sumber inspirasi dalam membentuk gaya penyampaiannya.
“Cik Piah berseorangan dalam konti tetapi sentiasa mampu membuat pendengar rasa terhibur. DJ Lin pula ada aura tersendiri yang menarik pendengar setia Suria FM.”
Segmen Kafe Suria diinspirasikan daripada suasana santai dan mesra sebuah kafe moden. Irsyad memainkan peranan sebagai ‘barista maya’, menyambut pendengar dengan ramah, berbual santai serta memberikan ruang untuk interaksi dan hiburan malam.
Dengan gabungan minat mendalam, pengalaman, serta pendekatan mesra, Irsyad berazam mengekalkan pendengar setia dan menarik lebih ramai pendengar baharu ke Suria FM.
Post a Comment