Pengasuh dari Syurga

 


KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Di saat kebimbangan orang ramai meningkat susulan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak oleh pengasuh tular di media sosial, kisah seorang wanita yang berkongsi pengalaman manisnya bersama seorang pengasuh berdedikasi memberi sinar harapan kepada ibu bapa yang bekerja.


Dalam satu hantaran yang meraih perhatian ramai di media sosial, wanita berkenaan melabel pengasuh anaknya sebagai “pengasuh dari syurga” kerana komitmen dan keprihatinannya dalam menjaga anak-anak.


Menurut wanita itu, pengasuh terbabit bukan sahaja menjaga anak bongsunya, malah turut mengambil anak sulung dari sekolah dan menjadikan rumahnya sebagai tempat transit.


Lebih mengagumkan, pengasuh tersebut membasuh dan menggosok pakaian seragam sekolah, melipat pakaian harian, dan juga membersihkan kasut serta selipar sekolah, termasuk bantal kesayangan anak.

“Saya sendiri pun tak sempat basuh selipar anak, tapi pengasuh sempat,” luahnya.


Wanita tersebut yang kini dalam tempoh berpantang selepas bersalin turut berkongsi bahawa pengasuh tersebut menawarkan diri menjaga anak-anak pada hujung minggu bagi membantunya, terutama ketika suaminya bertugas di luar kawasan selama beberapa minggu.

“Tak pernah lagi jumpa manusia ada empati macam dia. Tak lokek langsung tenaga. Moga Allah memberkatinya,” katanya sambil menyatakan hasrat untuk menaikkan bayaran upah sebagai tanda penghargaan.


Hantaran itu menerima respons positif di ruangan komen, dengan ramai netizen meluahkan rasa kagum dan terharu, menyifatkan bahawa pengasuh seperti itu adalah rezeki yang perlu dijaga dan dihargai.

“Kalau awak tak berkira dengan dia, dia beribu kali takkan berkira dengan awak. Sayang anak-anak macam anak sendiri,” tulis seorang pengguna.


Ramai turut menasihatkan agar wanita itu menjadikan pengasuh terbabit sebagai sebahagian daripada keluarganya kerana kesungguhannya yang luar biasa.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post