Wanita Nekad Batalkan Perkahwinan Demi Keselamatan Emosi dan Masa Depan

 


KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Meskipun 80 peratus persiapan telah disiapkan, seorang wanita nekad membatalkan majlis perkahwinannya sebulan sebelum hari bahagia itu berlangsung demi menjaga kesejahteraan diri dan mentalnya.


Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun dirasakan perlu setelah mempertimbangkan pelbagai aspek dalam hubungan yang dianggap tidak lagi sihat untuk diteruskan.

“Saya dah fikir banyak kali. Tapi akhirnya saya sedar, saya tak boleh terus bertahan dalam hubungan yang toksik. Dia mungkin belum bersedia dari segi tanggungjawab – bukan saja sebagai pasangan, tetapi juga sebagai bakal suami dan ketua keluarga,” jelas Ain.


Menurut Ain, pelbagai tanda awal telah menunjukkan ketidaksesuaian antara mereka, termasuk cara tunangnya berinteraksi dengan orang sekeliling.

“Jangan paksa diri terus berada dalam hubungan yang toksik atau ‘abusive’. Lama-kelamaan, ia akan makan diri kita secara mental dan fizikal. Percayalah, jaga dan sayang diri sendiri itu paling utama,” katanya.


Ain berkata, antara langkah awal selepas membuat keputusan itu ialah menjual beberapa barangan perkahwinan yang telah dibeli. Antaranya termasuk:

  • Sepasang baju nikah bernilai RM265 yang berjaya dijual semula pada harga RM200.
  • Kasut nikah yang dibeli pada harga RM210, kini ditawarkan pada harga RM150.
  • Tudung net dan barangan lain seperti beg cenderahati serta bunga telur, masih belum dijual.
  • “Saya tak sangka baju nikah tu cepat sangat terjual. Sekarang saya perlahan-lahan nak ‘let go’ barang-barang yang penting dahulu,” jelasnya.


Ain turut memaklumkan bahawa keputusan untuk membatalkan majlis turut mendapat sokongan penuh keluarganya. Malah, keluarganya mengambil inisiatif untuk menghubungi semula tetamu dan memaklumkan bahawa majlis ditangguhkan — walaupun hakikatnya telah dibatalkan sepenuhnya.

“Kad kahwin dah edar. Ibu ayah saya sendiri yang telefon semua orang. Saya tahu ini sukar, tapi lebih baik berhenti sekarang daripada teruskan sesuatu yang tidak pasti,” luahnya.


Apabila ditanya mengenai reaksi bekas tunangnya, Ain menyatakan lelaki itu menerima keputusan itu secara tenang.

“Dia okay je, macam tak ada apa-apa berlaku,” katanya ringkas.


Kini, Ain memilih untuk memberi fokus kepada diri dan proses pemulihan emosi. Dalam satu peristiwa penuh makna, dia mendapat peluang menunaikan umrah selepas melalui fasa getir itu.

“Saya menangis sepuasnya di Raudah. Saya mohon agar Allah pertemukan saya dengan jodoh yang baik dan diredai. Saya reda dan percaya ada rezeki yang lebih baik menanti,” tambahnya.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post