Wanita Dirogol di Hadapan Anak-Anak Kecil

 


RIAU, INDONESIA 21 Mei 2025 — Seorang wanita berusia 32 tahun menjadi mangsa serangan seksual apabila dirogol di hadapan dua anak kecilnya dalam kejadian tragis yang berlaku di Pematang Reba, Rengat Barat, Indragiri Hulu (Inhu), Riau pada Isnin.


Ketika kejadian, mangsa sedang meluangkan masa bersama dua anaknya yang masing-masing berusia tiga dan lima tahun di kediaman mereka.


Ketua Polis Inhu, AKBP Fahrian Saleh Siregar memaklumkan bahawa suspek bertindak memecah masuk ke rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang sebelum mengacukan sebilah pisau ke arah wanita berkenaan.

“Suspek mengacukan senjata tajam dan memaksa mangsa masuk ke dalam bilik sebelum merogolnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Selepas melakukan serangan, suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum meloloskan diri.


Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis dan siasatan segera dijalankan. Berikutan usaha pantas pihak berkuasa, suspek lelaki berusia 28 tahun berjaya diberkas kurang daripada tiga jam selepas laporan diterima.

“Suspek ditahan dalam tempoh singkat dan kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut,” ujar Fahrian.


Pihak polis mengesahkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Perkara 285 Kanun Jenayah Indonesia yang berkaitan dengan kesalahan rogol. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara sehingga 12 tahun.


Kes ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat, terutamanya berkaitan keselamatan wanita dan kanak-kanak dalam rumah sendiri. Pelbagai pihak menyeru agar mangsa diberi perlindungan serta sokongan psikologi, manakala proses undang-undang terhadap suspek dijalankan dengan tegas dan telus.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post