Kanak-Kanak Melecur Teruk Akibat Main Masak-Masak

 


SITUBONDO JAWA TIMUR, 21 Mei 2025 — Aktiviti bermain masak-masak yang sepatutnya menjadi satu pengalaman menyeronokkan bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur teruk selepas disambar api dalam kejadian di Situbondo, Jawa Timur, pada Isnin lalu.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Situbondo, AKP Agung Hartawan, mangsa dikatakan sedang keluar membeli makanan sebelum diajak oleh empat rakan sebaya untuk menangkap ikan di sungai berhampiran.


Selepas berjaya menangkap ikan, mereka membuat keputusan untuk memasaknya di kawasan terbuka. Salah seorang daripada mereka dilaporkan menambah metanol secara berterusan ke dalam api untuk memastikan ia tidak padam.

“Malangnya, api dipercayai menyambar ke arah mangsa, menyebabkan badannya terbakar,” jelas Agung.


Rakan-rakan mangsa cuba memadamkan api dengan menyimbah air ke kepala mangsa sebelum jeritannya didengari oleh ibu bapa mereka yang kemudian bergegas membantu memadamkan api dengan menepuk badan mangsa.


Siasatan awal mendapati mangsa mengalami lecuran serius di bahagian muka, kedua-dua tangan dan badan, dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital tempatan.


Kes kini dikendalikan oleh Penyiasat Wanita dan Kanak-Kanak Unit Penyelidikan Jenayah (Satreskrim) Polis Situbondo. Kesemua kanak-kanak terbabit serta ibu bapa mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.


Insiden ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang bahaya penggunaan bahan mudah terbakar seperti metanol, lebih-lebih lagi apabila berada dalam tangan kanak-kanak tanpa pengawasan orang dewasa.


Pihak berkuasa menyeru ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak serta memberikan pendidikan awal mengenai keselamatan dan bahaya kebakaran.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post