Doktor Disyaki Lakukan Gangguan Seksual

 


GEORGETOWN, 16 Mei – Polis mengesahkan menerima satu lagi laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang doktor lelaki berusia 43 tahun di sebuah hospital di sini, menjadikan jumlah keseluruhan tiga laporan polis setakat ini terhadap suspek.


Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata dalam laporan terbaharu yang dibuat semalam, mangsa mendakwa insiden berlaku pada 20 Februari lalu, jam 9.15 malam, di hospital tempat suspek bertugas.

“Mangsa mendakwa diminta hadir ke hospital untuk mengambil keputusan ujian darah, sebelum diperdaya kononnya menghidap penyakit jantung dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut siasatan, doktor berkenaan didakwa meminta wanita tersebut berbogel dan melakukan larian setempat, sebelum merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbitnya.


Pemeriksaan polis ke atas telefon suspek turut menemukan rakaman video insiden tersebut, dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat mangsa lain atau rakaman lain yang dirakam secara tidak sah.


Hasil siasatan awal juga mendapati, doktor terbabit yang sudah berkahwin, mengaku terlibat dalam beberapa lagi kes berkelakuan tidak senonoh terhadap mangsa lain.

“Suspek kini direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” jelas Swee Sake.


Terdahulu, suspek pertama kali direman pada 26 Februari susulan laporan oleh pihak hospital berhubung kelakuan tidak senonoh terhadap pesakit. Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 3 Mac.


Namun, pada 14 Mei, doktor terbabit ditahan semula selepas seorang wanita membuat laporan berkaitan insiden gangguan seksual di sebuah klinik swasta yang didakwa berlaku pada tahun 2023.


Kes ini terus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap integriti profesional dalam sektor kesihatan, khususnya melibatkan doktor perubatan di hospital dan klinik swasta.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post