Fattah Amin Tidak Ulas Isu Hutang Syarikat Bekas Isteri

 


KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pelakon popular, Fattah Amin, enggan mengulas mengenai laporan bahawa syarikat milik bekas isterinya, Nur Fazura, didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta dengan sebuah syarikat pengeluar tudung, sebaliknya menyatakan simpati dan doa agar segala urusan Fazura dipermudahkan.


Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, berkata walaupun tidak mengetahui tentang isu tersebut sebelum ia tular, beliau tetap mengambil sikap mendoakan yang baik kerana Fazura merupakan ibu kepada anak mereka, Nur Fatima Aisya.

“Saya tak berani nak komen, tapi sebagai orang luar yang mendengar berita ini, saya rasa bersimpati dan doakan yang terbaik.

“Dia adalah ibu kepada anak saya, jadi saya doakan agar segala urusannya dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.


Fattah menjelaskan, beliau hanya mengetahui isu tersebut selepas ia dilaporkan media tempatan dan menegaskan bahawa dirinya tidak tahu-menahu mengenai perkembangan kewangan bekas isterinya itu sebelum ini.

“Bila keluar berita, barulah saya tahu. Memang saya tak tahu langsung tentang perkara ini,” katanya ringkas.


Terdahulu, media melaporkan bahawa syarikat pengeluar tudung, Obor Holding Sdn Bhd, memfailkan tuntutan terhadap syarikat milik Fazura, Pink Fate Sdn Bhd, berhubung tunggakan bayaran berjumlah RM4.65 juta.


Syarikat terbabit mendakwa mereka telah membekalkan tudung bernilai lebih RM7.3 juta kepada Pink Fate Sdn Bhd sejak Jun 2022, namun hanya RM2.68 juta dibayar, menyebabkan bakinya masih belum dijelaskan.


Difahamkan, usaha menuntut bayaran telah berdepan kesukaran sejak Disember 2023, mendorong Obor Holding mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Fazura, yang dikenali umum sebagai pengasas bersama jenama Pink Fate.


Sehingga kini, Fazura masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post