Dua Beranak Ditahan Kes Pembunuhan Kejam Ibu dan Anak

 


CIANJUR INDONESIA, 20 Mei 2025 – Penemuan tengkorak dan rangka manusia di sebuah kebun di Kampung Cibanteng, Sukaresmi, membongkar insiden pembunuhan kejam membabitkan dua beranak sebagai suspek utama.


Mangsa dikenalpasti sebagai seorang wanita warga emas dan cucu perempuannya, dipercayai telah dicekik, dipotong, dibakar dan ditanam oleh anak kepada mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun, dengan bantuan bapanya yang juga suami kepada mangsa warga emas, berumur 60 tahun.


Ketua Polis Daerah Cianjur, AKBP Rohman Yonky Dilatha, berkata pihaknya menerima laporan daripada penduduk yang menemui tengkorak manusia di kawasan kebun.

“Setelah tengkorak ditemui, kami menjalankan siasatan dan menjumpai rangka kedua tidak jauh dari lokasi pertama. Ini menandakan ada unsur jenayah serius,” jelasnya dalam sidang media, Isnin.


Siasatan mendapati suspek wanita merupakan anak kepada mangsa warga emas dan ibu kepada kanak-kanak perempuan yang turut menjadi korban. Dia mengaku telah membunuh ibunya terlebih dahulu sebelum membunuh anaknya yang terjaga, kononnya bimbang rahsia terbongkar.

“Pelaku memberi alasan dia tidak mahu anaknya menjadi saksi atau membuat bising, lalu turut membunuhnya,” ujar Rohman.


Suspek lelaki iaitu bapa kepada pelaku dan suami kepada mangsa, pula didakwa membantu menyembunyikan jenayah dengan memotong anggota badan mangsa, membakarnya dan menanam sisa tubuh di kebun.


Polis turut menemui gambar mangsa dalam telefon bimbit suspek, yang dijadikan bahan bukti utama dalam siasatan.


Kedua-dua suspek kini ditahan dan bakal didakwa di bawah undang-undang jenayah berat Indonesia. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati, sesuai dengan keseriusan jenayah kekeluargaan ini.


Pihak polis turut memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang giat dijalankan dan akan memastikan keadilan ditegakkan buat mangsa.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post