Dua Lelaki Ditahan Curi Tabung Masjid di Kuala Pilah

 

Kuala Pilah, 23 Mei 2025 — Dua sahabat ditahan polis kurang daripada 24 jam selepas dipercayai terbabit dalam kejadian curi tabung masjid di lima buah masjid sekitar daerah ini awal pagi Selasa.


Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 19 tahun dan awal 20-an, ditahan di kediaman keluarga mereka hasil maklumat awam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek mengaku terlibat dalam lima kes pecah tabung masjid di sekitar Kuala Pilah serta satu lagi kes di daerah Jelebu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, pada Khamis.


Menurut beliau, suspek menggunakan sebuah kereta Perodua Kancil untuk melarikan dua tabung besi bersaiz besar dan kecil dari lokasi kejadian. Polis turut merampas semula dua tabung besi serta wang tunai berjumlah RM113 dalam bentuk wang kertas dan RM7 dalam bentuk syiling.


Lima masjid yang terlibat dalam kejadian tersebut ialah:

  1. Masjid Sungai Dua Kecil
  2. Masjid Kuala Sungai Dua
  3. Masjid Kariah Kampung Parit
  4. Masjid Nur Salbiah
  5. Masjid Kariah Sungai Dua Besar


Salah seorang suspek mendakwa mereka terpaksa melakukan perbuatan itu kerana terdesak untuk menyelenggara kereta dan membayar sewa rumah. Kedua-dua suspek kini direman selama dua hari bermula Khamis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post