Trauma Gangguan Mistik, Wanita Nekad Pindah Selepas Tiga Malam di Rumah Sewa

 

Semenyih, 23 Mei 2025 — Hasrat seorang wanita untuk memulakan hidup baharu di lokasi tempat kerja bertukar menjadi pengalaman traumatik apabila dia mendakwa diganggu entiti misteri di rumah sewanya, hanya beberapa hari selepas berpindah masuk.


Wanita dikenali sebagai Nabiha, 28, berkata beliau menyewa sebuah rumah teres satu tingkat di Semenyih setelah gagal mendapatkan rumah sewa secara dalam talian dan terpaksa mencari secara fizikal di kawasan sekitar.

“Rumah itu nampak bersih, lengkap dengan beberapa perabot asas, dan sewanya pula agak berpatutan iaitu RM600 sebulan. Saya bersyukur urusan menyewa berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi.


Namun, ketenangan yang diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pelbagai kejadian aneh mula berlaku sebaik sahaja Nabiha tinggal seorang diri.

“Pada malam kedua, saya terdengar bunyi seperti ada orang membasuh pinggan di dapur. Kemudian malam berikutnya, saya diganggu bunyi tangisan bayi sehingga tidur saya terganggu,” katanya.


Nabiha kemudian mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang peranti yang mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Namun, gangguan didakwa semakin menjadi-jadi apabila beliau mengalami mimpi yang berulang melibatkan seorang wanita tua berpakaian lusuh yang berdiri di hadapan pintu sambil memandang tajam ke arahnya.

“Saya terbangun dalam keadaan berpeluh dan ketakutan. Esoknya saya mendapati ada tiga tompokan lebam di paha tanpa sebab yang jelas,” ujarnya.


Kemuncak insiden berlaku pada petang Jumaat apabila beliau kembali ke rumah berkenaan untuk mengambil pakaian sebelum pulang ke kampung.

“Rumah saya berselerak seperti dipecah masuk. Kain baju bertaburan, perabot beralih tempat. Ketika melangkah masuk, sebiji pinggan melayang dari arah dapur ke arah saya,” katanya.


Nabiha sempat melarikan diri sebelum daun pintu tertutup rapat dan disusuli dengan bunyi seperti hilaian tawa dari dalam rumah. Beberapa jiran yang menyedari kejadian itu membantu menenangkannya sebelum seorang wanita berusia membacakan ayat suci al-Quran.


Menurut jiran berkenaan, rumah tersebut telah lama kosong dan sering bertukar penyewa kerana gangguan yang berterusan.

“Penyewa pertama dikatakan pernah membela sesuatu. Selepas dia meninggal dunia tujuh tahun lalu, gangguan didakwa tidak pernah berhenti,” ujar wanita itu.


Akibat trauma, Nabiha membuat keputusan untuk tidak kembali ke rumah tersebut dan memilih untuk mencari pekerjaan baharu berhampiran kampung halamannya di Banting.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post