PKR Pilih Kepimpinan Baharu Dalam Kongres Nasional 2024/2025 di Johor Bahru

 

JOHOR BAHRU, 23 Mei 2025 – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan utama kepada pemilihan kepimpinan baharu bagi penggal 2025 hingga 2028.


Proses pengundian bermula jam 8 pagi dan dijadual berakhir jam 5 petang, melibatkan seramai 32,030 pengundi yang terdiri daripada perwakilan fizikal dan dalam talian.


Pengundian secara fizikal berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di Johor Bahru untuk Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak, ia dijalankan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.


Pengundian dalam talian pula dijalankan secara serentak melalui aplikasi ADIL, membolehkan perwakilan biasa dan tambahan menunaikan tanggungjawab mereka.


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka hadir mengundi secara fizikal di Berjaya Waterfront Hotel sekitar jam 12 tengah hari.


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan keputusan awal dijangka diumumkan seawal jam 9 malam ini, selepas ucapan perasmian Presiden parti sempena Kongres Nasional PKR 2025.


Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan 251 calon bagi tiga sayap utama:

  • Majlis Pimpinan Pusat (MPP): 104 calon
  • Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK): 85 calon
  • Majlis Pimpinan Wanita: 62 calon


Jawatan Presiden kekal tanpa pertandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penyandang. Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli.


Bagi jawatan Naib Presiden, seramai 12 individu menawarkan diri termasuk empat penyandang iaitu:

  • Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam)
  • Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
  • Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)
  • Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor)


Dalam sayap AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, Timbalan Ketua AMK merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, menang tanpa bertanding sebagai Ketua AMK baharu.


Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan saingan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang). Kongres AMK dan Wanita turut berlangsung pagi ini dengan ucapan dasar daripada Ketua masing-masing, diikuti sesi perbahasan dan penggulungan.


Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 malam ini pada jam 9.25 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, disaksikan barisan kepimpinan utama dan para perwakilan dari seluruh negara.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post