SETIA ALAM, 23 Mei 2025 – Pempengaruh media sosial, Siti Suriani Wahiddin, atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, 26, berkongsi perkembangan terbaharu mengenai kehamilannya selepas kontroversi melibatkan lafaz cerai secara langsung (live) oleh suaminya pada 15 Mei lalu.
Menurut Siti, hasil pemeriksaan terkini, beliau dimaklumkan sedang hamil anak perempuan merupakan satu berita yang sangat dinantikan oleh beliau dan suami, Khairul Aiman Abdul Kudus.
"Rasa sebak kerana kami memang mengharapkan anak perempuan. Walaupun dalam keadaan kecewa, saya masih berkomunikasi dengan Aiman," katanya ketika ditemui selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Setia Alam, semalam.
Siti memaklumkan bahawa suaminya mengetahui jantina anak melalui seorang rakan mereka yang turut hadir ketika pemeriksaan. Menurutnya, Aiman dikatakan menangis apabila menerima berita tersebut.
Tambah Siti, ini merupakan kehamilan kedua dalam perkahwinan keduanya bersama Aiman, selepas kehamilan pertama mengalami keguguran.
"Alhamdulillah, kandungan kali ini sangat kuat. Anak dalam kandungan saya ini sangat tabah walaupun melalui pelbagai dugaan sejak awal kehamilan," katanya yang turut berkongsi bahawa beliau sudah mempunyai dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu.
Siti turut meluahkan rasa syukur kerana masih menerima sokongan moral daripada para pengikut dan masyarakat yang mendoakan kesejahteraan beliau dan anak-anaknya.
"Saya bersyukur kerana ada pengikut-pengikut yang sangat prihatin. Mereka juga menyeru agar kesihatan mental saya tidak diganggu. Saya sangat menghargai sokongan itu," ujarnya.
Kini, Siti berkata beliau memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada anak-anak, keluarga dan dirinya selepas melalui tempoh yang mencabar. Mahkamah menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi kes tersebut.
Post a Comment