Fadlan Hazim Kongsi Pengalaman Dirasuk Ketika Penggambaran

 


KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Pelakon Fadlan Hazim Anuwar, 33, mendedahkan pengalaman menyeramkan ketika menjalani penggambaran filem pertamanya, Sniper, pada tahun 2013, apabila dirinya dipercayai telah dirasuk.


Menurut Fadlan, kejadian berlaku ketika penggambaran dijalankan di Mimaland, sebuah taman tema terbengkalai di Gombak, Selangor.

“Walaupun Sniper adalah filem aksi dan bukannya filem seram, kejadian itu berlaku mungkin kerana mulut saya yang celupar ketika berada di dalam hutan. Ketika itu usia saya baru awal 20-an, masih muda dan tidak berfikir panjang,” katanya ketika ditemui di majlis doa selamat filem terbaharunya, Nar'Sata, baru-baru ini.


Fadlan mengimbas saat-saat dirinya dirasuk, bermula dengan simptom seperti demam panas dan mata pedih, sebelum hilang kawalan emosi.

“Saya mula marah tanpa sebab dan bertindak agresif. Bila pengarah Pierre Andre datang mendekati, saya tak dapat kawal emosi — saya rasa nak mengamuk kepada sesiapa sahaja yang berada dekat dengan saya.”


Fadlan bersyukur pihak produksi, Metrowealth International Group (MIG), telah menyediakan dua orang ustaz di lokasi penggambaran bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan.

“Saya berterima kasih kepada David Teo yang memang peka dengan hal-hal seperti ini. Kalau bukan kerana tindakan pantas, mungkin keadaan saya ketika itu boleh jadi lebih teruk,” katanya.


Sejak insiden itu, Fadlan mengakui beliau lebih percaya kepada kewujudan alam ghaib, namun memilih untuk menjauhkan diri daripada sebarang topik berkaitan kisah seram.

“Saya bukan jenis suka cerita pasal hantu. Kalau orang nak sembang pun, saya akan elak. Dulu saya anggap benda macam ni mengarut, tapi bila kena sendiri baru saya sedar ia boleh berlaku kepada sesiapa,” ujarnya.


Kini, Fadlan sedang terlibat dalam penggambaran filem seram Nar'Sata arahan Pierre Andre yang turut dibintangi Mawar Rashid dan Trisha OoiFilem tersebut dijangka memberi cabaran baharu kepada Fadlan yang sebelum ini lebih sinonim dengan genre aksi dan drama.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post