Nik Nazmi Ingatkan Ahli PKR Jangan ‘Jual’ Undi Sempena Pemilihan Parti

 


JOHOR BAHRU, 21 Mei 2025 – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, mengingatkan lebih 30,000 ahli parti agar tidak menggadaikan undi mereka sempena Pemilihan PKR 2025 yang dijadual berlangsung minggu ini.


Beliau menegaskan bahawa undi setiap ahli adalah amanah yang harus digunakan dengan bijaksana untuk meneruskan perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan parti sejak lebih dua dekad lalu.

“Orang boleh telefon tengah malam, berkempen macam-macam tapi akhirnya keputusan itu keputusan kita. Undi itu rahsia dan hak kita. Jadi saya harap kita gunakan kuasa tersebut. Jangan kita jual undi dengan begitu murah kerana inilah yang akan tentukan masa depan bagi kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program terakhir Jelajah Hiruk (Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa) di Hotel New York, Johor Bahru, malam tadi.


Turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Naib Presiden, Datuk Seri Aminuddin Harun, Chang Lih Kang, Pengarah Strategi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta calon Ketua Wanita, Rodziah Ismail.


Program Jelajah Hiruk sebelum ini dilancarkan sebagai usaha mengukuhkan pegangan idealisme reformasi PKR, terutama dalam konteks parti yang kini berada dalam kerajaan.


Nik Nazmi menekankan bahawa pemilihan kali ini bukan semata-mata soal jawatan, tetapi merupakan penentu kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Saya percaya bahawa undi ini adalah titik tolak penting. Saya bukan mahu menidakkan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden, tetapi gandingan terbaik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Rafizi Ramli,” katanya.


Beliau menyifatkan kejayaan PKR menempatkan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022 adalah hasil kerjasama erat dan kepimpinan kolektif dalam parti selepas melalui detik getir usai Pilihan Raya Negeri.


Dalam ucapannya, Nik Nazmi turut memberi jaminan bahawa barisan kepimpinan sedia ada akan terus bekerja keras demi rakyat dan bukan semata-mata untuk mengisi jawatan dalam parti.

“Insya-Allah, dengan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun), kami akan terus bekerja keras jika diberikan semula kepercayaan. Bukan semata-mata untuk jawatan atau kuasa tetapi supaya agenda reformasi dapat diteruskan dan dilaksanakan,” ujarnya.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post