Pada hari penuh bermakna ini, guru-guru lazimnya menerima ucapan penghargaan dan pelbagai bentuk hadiah daripada anak-anak murid sebagai tanda kasih dan terima kasih. Namun demikian, timbul persoalan sama ada pemberian hadiah kepada guru ini dibenarkan dari sudut Islam atau boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah yang tersembunyi?
Menurut penjelasan yang dimuatkan di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para fuqaha' (ulama fekah) bersepakat bahawa pemberian hadiah pada asalnya adalah sesuatu yang disunatkan, lebih-lebih lagi jika bertujuan mempererat hubungan silaturrahim.
Rujukan kepada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan bahawa hukum pemberian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian:
1. Halal kepada pemberi dan penerima- apabila hadiah diberikan atas dasar kasih sayang dan silaturrahim
2. Haram kepada kedua- duanya - sekiranya hadiah bertujuan melakukan kezaliman.
3. Haram kepada penerima sahaja- jika hadiah bertujuan untuk mengelakkan tindakan tidak adil terhadap pemberi.
4. Halal kepada pemberi dan haram kepada penerima- jika pemberian dilakukan kerana rasa takut terhadap ancaman.
Dalam konteks Islam, rasuah ditakrifkan sebagai pemberian yang bertujuan memutarbelitkan kebenaran dan membenarkan kepalsuan, sebagaimana dijelaskan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.
Justeru, garis pemisah antara hadiah dan rasuah sangat bergantung kepada niat pemberi dan penerima serta situasi pemberian itu sendiri.
Kesimpulannya, pemberian hadiah kepada guru adalah dibenarkan dan disunatkan sekiranya dilakukan atas dasar kasih sayang, penghargaan dan memuliakan mereka seperti yang lazim dilakukan pada Hari Guru, menurut penjelasan Pejabat Mufti.
Namun begitu, sekiranya pemberian itu disertai dengan niat mendapatkan keistimewaan, seperti layanan lebih baik atau peningkatan markah, maka ia boleh jatuh di bawah kategori dilarang dan haram dalam Islam.
Hari Guru sepatutnya menjadi detik untuk menghargai peranan pendidik, bukan menimbulkan syak wasangka terhadap niat sebenar pemberian yang dilakukan. Maka, masyarakat diseru agar terus meraikan guru dengan penuh adab, keikhlasan dan mengikut garis panduan syarak.
Post a Comment