KUALA LUMPUR, 21 Mei 2025 – Tindakan sebuah pihak didakwa mahu menarik semula bantuan yang telah diberikan kepada seorang warga emas yang terlibat dalam insiden kebakaran mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Menurut perkongsian seorang pengguna media sosial, ibunya yang rumahnya musnah dalam kebakaran akibat litar pintas pada Oktober 2024 telah menerima bantuan berupa peti sejuk dan tikar getah daripada sebuah parti politik yang tampil menghulurkan sumbangan.
Namun, pada Mei 2025, individu daripada parti tersebut dikatakan mahu mengambil semula bantuan tersebut setelah mendapati wanita berkenaan telah menyertai parti politik lain.
“Hari ini mak hubungi, maklumkan bantuan peti ais dan tikar getah semasa rumah terbakar hari tu... orang nak ambil semula.Aku terkelu tanpa kata, mak cakap sebab dia bukan (ahli) daripada parti yang beri bantuan tu,” jelas pengadu dalam hantaran media sosialnya.
Tambahnya, meskipun ibunya kesal, beliau bersedia untuk memulangkan semula bantuan berkenaan, namun dengan syarat individu yang menyerahkan bantuan dahulu perlu hadir sendiri untuk mengambilnya.
“Semasa bagi bantuan dia rakam, jadi masa nak ambil balik pun kita nak rakam juga,” ujar pengadu, sambil menyatakan bahawa jika tindakan tersebut diteruskan, perkara itu akan ditularkan kepada umum.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berhubung insiden tersebut, dan identiti parti yang dimaksudkan juga tidak didedahkan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Ramai menyuarakan kekecewaan apabila bantuan kebajikan diberikan berdasarkan kecenderungan politik, sedangkan mangsa musibah sepatutnya dibantu tanpa syarat.
“Memang kebanyakannya macam tu, kalau tak sokong parti dia, tak dapat apa-apa faedah.”“Mak awak pula jadi biro parti lain, lagilah berapi dia tengok,” antara komen netizen yang menganggap tindakan itu sebagai tidak wajar dan tidak beretika.
Beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman positif di kawasan mereka, di mana bantuan diberikan secara adil dan tidak mengira latar belakang politik.
“Rumah mak saya terbakar pada 2021, awal tahun 2022 dapat bantuan rumah dari menteri besar sendiri. Setiap tahun mak dapat bantuan daripada semua parti. Rezeki tu bukan datang daripada parti tapi daripada keikhlasan.”
Kes ini membuka kembali perbincangan tentang etika pemberian bantuan oleh mana-mana pihak, terutamanya apabila melibatkan mangsa bencana yang berada dalam keadaan terdesak.
Post a Comment