KOTA BHARU, 20 Mei 2025 – Impian seorang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menaiki pentas menerima skrol ijazah tidak kesampaian apabila dia kini terlantar dalam keadaan separuh koma akibat serangan radang otak yang dialami sejak lebih dua tahun lalu.
Azreen Afiza Azahari, 25, yang sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran sempena Istiadat Konvokesyen Ke-101 UiTM Khamis ini, hanya mampu ‘hadir’ menerusi ibunya, Azizon Ab Hamid, 48, yang akan mewakilinya di pentas penuh bermakna itu.
“Saya sedih kerana Angah tak dapat berdiri sendiri di atas pentas seperti yang selalu diimpikannya. Tapi saya tetap bangga dan akan mewakilinya dengan penuh rasa syukur dan kasih,” ujar Azizon ketika ditemui di kediamannya di Desa An Nur, Panji.
Menurut Azizon, keadaan anak ketiganya itu mula membimbangkan pada 2022 apabila Azreen menunjukkan tanda-tanda kemurungan, hilang selera makan dan tidak dapat tidur. Rawatan awal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) membawa kepada pemeriksaan lebih lanjut, sebelum disahkan mengalami radang otak selepas imbasan MRI mengesan jangkitan kuman pada kedua-dua belah otak.
“Dia hanya terlantar sejak itu dan memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya. Kami terpaksa menukar tiub penyusuan dari hidung ke perut selepas jangkitan kuman pada paru-paru tahun lalu,” kata Azizon.
Namun, ibu kepada lima anak ini bersyukur apabila melihat perkembangan positif, termasuk berat badan Azreen yang semakin bertambah dan kemampuannya membuka mata, walaupun masih belum sedar sepenuhnya.
Azizon mengakui, walaupun pernah berhasrat membawa Azreen ke majlis konvokesyen, kekangan kewangan dan keadaan fizikal anaknya yang tidak stabil membuatkan hasrat itu terpaksa dibatalkan.
“Saya akan ditemani anak sulung, Azreen Afifah, untuk menghadiri konvokesyen. Kami akan pastikan Angah tahu bahawa impiannya tidak dilupakan,” tambahnya sebak.
Walaupun diuji sedemikian rupa, Azizon tetap reda dan tabah menjaga anaknya tanpa rasa terbeban, malah tidak pernah putus doa agar satu hari nanti Azreen kembali pulih.
Post a Comment