KOTA KINABALU, 20 Mei 2025 – Dua beranak maut dalam satu kebakaran tragis yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Pulau Penampang, Manggatal, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ruslia @ Gisis Guntamas, 80, dan cucu perempuannya, Joeynita Abdul Alip, 14, ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam rumah yang terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi.
Mayat Ruslia ditemui pada jam 7.13 pagi, diikuti penemuan cucunya kira-kira 20 minit kemudian, menurut laporan pihak bomba. Difahamkan, rumah berkenaan didiami enam ahli keluarga, namun empat daripada mereka sempat menyelamatkan diri sebelum api marak sepenuhnya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan lanjut.
"Kita masih menunggu laporan penuh pasukan forensik bomba bagi mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon, memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 pagi.
Seramai 27 anggota dan pegawai, termasuk pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), digerakkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan mendapati rumah jenis kekal itu terbakar hampir 90 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 5.55 pagi," jelasnya.
Menurutnya, setelah api dipadamkan, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui dua mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 pagi," katanya sambil menambah bahawa punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Post a Comment