Pemandu Navara Dipenjara Enam Bulan, Lesen Digantung Lima Tahun


 

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang pemandu pikap yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan sepasang suami isteri mengalami kecederaan parah dalam satu kemalangan dua minggu lalu.


Tertuduh, K. Darmaraju, 32, yang merupakan jurujual aksesori kereta, sebelum ini hanya dikenakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret pada 13 Mei lalu. Bagaimanapun, Hakim K. Muniandy memutuskan semakan semula terhadap hukuman tersebut dan menggantikannya dengan penjara enam bulan, manakala denda serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun dikekalkan.


Dalam kejadian pada 10 Mei lalu jam 2.30 petang di Lebuhraya Utara-Selatan arah ke pusat bandar, Darmaraju memandu secara laju dan memotong motosikal dari arah kanan sebelum merempuh pasangan Faizal Mat, 53, dan Suhailiza Shamsudin, 49, yang ketika itu berada di lorong paling kiri.


Faizal mengalami patah tulang selangka, manakala Suhailiza yang dibonceng tercampak dan mengalami pendarahan teruk di kepala, patah pergelangan kaki serta retak tulang rusuk kanan. Mangsa kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, dalam hujahnya menyatakan hukuman asal 30 hari penjara tidak mencerminkan matlamat pindaan undang-undang, selain gagal menunjukkan komitmen terhadap keselamatan jalan raya.

“Denda RM12,000 sudah dibayar, namun hukuman penjara 30 hari berlalu sekelip mata berbanding penderitaan mangsa seumur hidup,” katanya.


Beliau turut menekankan bahawa tindakan tertuduh yang meninggalkan tempat kejadian tanpa memberi bantuan selepas melanggar mangsa menunjukkan pengabaian serius terhadap keselamatan orang awam.


Rakaman dashcam berdurasi seminit turut diserahkan kepada mahkamah, menunjukkan kenderaan Nissan Navara dipandu laju dan secara melulu sebelum melanggar motosikal mangsa.


Kes ini turut menarik perhatian masyarakat, dengan ramai mendesak hukuman lebih berat demi memberi pengajaran dan mencegah insiden sama berulang.

“Komitmen terhadap keselamatan pengguna jalan raya perlu ditegaskan melalui hukuman yang tegas dan bersifat pencegahan,” tegas Mohd Sabri.


Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta penggantungan lesen.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post