SEREMBAN, 21 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Sembilan akan membawa cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dibincangkan, termasuk aspek penyelarasan dasar dan penguatkuasaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata cadangan tersebut akan meneliti syor daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mengambil pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Pengharaman vape adalah satu cadangan baik, lebih-lebih lagi jika terbukti memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.
Aminuddin menegaskan penjualan vape berperisa cendawan (mushroom) perlu diberi perhatian segera berikutan kebimbangan terhadap kesannya, termasuk potensi penyalahgunaan bahan terlarang.
“Saya minta penguatkuasaan terhadap penjualan vape perisa cendawan diselesaikan dahulu. Itu paling penting buat masa ini,” katanya.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak lagi meluluskan sebarang lesen penjualan vape, termasuk bagi permohonan baharu. Setakat ini, katanya, belum ada lesen dikeluarkan oleh PBT berkaitan penjualan vape.
Namun begitu, kerajaan negeri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya penjualan secara haram sekiranya pengharaman dilaksanakan tanpa pengawasan rapi.
“Apabila diharamkan, kita risau ia tetap dijual secara tersembunyi, termasuk menggunakan khidmat syarikat penghantaran. Jadi, kita kena pastikan tindakan yang diambil benar-benar berkesan,” jelas Aminuddin.
Langkah ini dijangka akan diperhalusi dari pelbagai sudut termasuk kesihatan awam, undang-undang, dan syariah sebelum sebarang penguatkuasaan dikuatkuasakan di Negeri Sembilan.
Post a Comment