LANGKAWI, 21 Mei 2025 – Kemunculan pelakon popular, Fattah Amin, di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) pada Rabu telah mencuri perhatian ramai, apabila tular video beliau menggayakan sut juruterbang helikopter.
Video yang dimuat naik di platform TikTok itu memperlihatkan Fattah dibantu oleh beberapa petugas untuk memakai peralatan lengkap penerbangan, termasuk vest keselamatan dan topi keledar, sambil melengkapkan penampilannya dengan kaca mata hitam.
Penampilan pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu telah mencetuskan nostalgia dalam kalangan peminat yang mengaitkannya dengan watak Ejaz Fakhri, juruterbang yang dilakonkannya dalam drama berkenaan.
“Dia ni kalau jadi juruterbang pun memang kacak, sesuai sebab tinggi, ada pakej lengkap,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Ejaz Fakhri yang sebenar. Suri Hati Mr Pilot,” tambah seorang lagi, sementara ada yang menyamakan Fattah dengan “Top Gun Malaysia”.
LIMA’25 sedang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Pulau Langkawi, Kedah, dan merupakan penganjuran bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd.
Pameran dwitahunan ini menampilkan pelbagai aset ketenteraan dan maritim dari dalam dan luar negara, selain menjadi medan promosi serta pendedahan kepada sektor industri pertahanan dan penerbangan awam.
Fattah Amin bukan sahaja menarik perhatian dengan penampilan bergaya, tetapi juga dilihat sebagai duta selebriti yang berjaya mempopularkan lagi LIMA’25 di kalangan generasi muda.
Post a Comment