SEPANG, 21 Mei 2025 – Tragedi menimpa sebuah keluarga apabila seorang anak lelaki, Muhamad Fauzan Johan, 37 tahun, maut dalam kemalangan jalan raya pada 10 April lalu. Kehilangan itu amat dirasai, terutama oleh kedua ibu bapanya, yang terpaksa menerima hakikat bahawa anak mereka pergi dahulu menghadap Ilahi.
Perkongsian menyayat hati oleh adik kepada arwah, Khaleeda Orked, di platform TikTok, telah meraih perhatian ramai. Dalam videonya, Khaleeda berkongsi detik menyedihkan apabila bapanya tidak mampu menahan air mata di hadapan pusara arwah, meskipun selama ini tidak pernah menunjukkan kesedihan.
“Kalau sakit pun ayah tak mahu beritahu, tak nak susahkan anak-anak,” tulis Khaleeda.
Menurut Khaleeda, arwah Fauzan sempat menghantar ibu dan bapanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehari sebelum kejadian. Ketika kemalangan berlaku, kedua-dua orang tua mereka berada di Sabah, dalam perjalanan untuk menyambut Aidilfitri di rumah besan di Keningau.
“Itu rupanya kali terakhir mak ayah dapat tatap wajah anak mereka,” ujar Khaleeda dalam nada sebak.
Sebaik menerima berita duka, pasangan suami isteri itu yang berada di Kundasang bergegas ke lapangan terbang bagi mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Namun, disebabkan kekangan tempat duduk, mereka hanya dapat pulang keesokan harinya. Arwah Fauzan telah dikebumikan di Sepang, Selangor.
Dalam ruangan komen, abang kepada arwah yang berada di Sabah meluahkan rasa pilu kerana tidak sempat mencium jenazah adiknya buat kali terakhir.
“Adik yang selama ini aku jaga, gaduh, nasihat, yang ada hobi sama dengan aku, telah pergi tanpa aku dapat peluk atau cium dia. Maafkan aku Pojan,” tulisnya dengan penuh emosi.
Beberapa hari kemudian, beliau pulang ke Semenanjung untuk menziarahi pusara arwah di Sepang. Dalam video yang dimuat naik, kelihatan salah seorang anak arwah memujuk bapa saudaranya agar tidak menangis, sambil menggosok belakangnya — momen yang menyentuh perasaan para penonton.
Seluruh keluarga kini hanya mampu mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa-dosa arwah dan menempatkannya di kalangan orang yang beriman.
“Sesungguhnya kehilangan anak adalah ujian berat buat ibu bapa, namun sebagai hamba-Nya, kita harus reda dengan ketentuan Ilahi,” tambah Khaleeda.
Post a Comment