BANGKOK, 21 Mei 2025 – Seorang penghuni kondominium di ibu negara Thailand bertindak melepaskan dua ekor ular bersaiz besar di kawasan koridor bangunan sebagai tanda protes terhadap gangguan bunyi bising anjing peliharaan jiran yang berlarutan selama dua tahun.
Tindakan lelaki tersebut turut ditujukan sebagai peringatan kepada pihak pengurusan kondominium yang didakwanya gagal mengambil tindakan terhadap aduan yang dikemukakan sejak sekian lama.
Insiden itu terbongkar apabila lelaki berkenaan memuat naik satu video memaparkan dua ekor ular sedang menyusur di kawasan koridor menerusi Facebook miliknya. Dalam kapsyen yang disertakan, beliau menulis:
"Hari ini saya bawa dua ekor. Esok saya bawa lebih banyak. Saya tidak dapat membawa yang lebih besar hari ini."
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan rata-rata warga maya mengecam pihak pengurusan kondominium yang dilihat lambat bertindak dalam menangani aduan berulang berhubung gangguan bunyi haiwan peliharaan.
“Jika mereka hanya mendenda pemilik ular dan bukan pemilik anjing, jangan terkejut jika ular akan muncul di pejabat mereka pula,” tulis seorang netizen.
Berikutan kejadian tersebut, pihak pengurusan telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua pihak terbabit:
- Pemilik anjing dikenakan denda sebanyak 10,000 baht (anggaran RM1,300) kerana melanggar peraturan, selain diarahkan untuk mengeluarkan haiwan tersebut dari kondominium.
- Pemilik ular pula menerima amaran bertulis dan diminta memindahkan reptilia itu keluar dari kawasan kediaman.
Lelaki itu turut menyatakan permohonan maaf kepada jiran tetangga yang tidak terlibat dalam isu tersebut dan menegaskan bahawa tindakannya adalah akibat kegagalan pengurusan menyelesaikan masalah berulang.
Post a Comment