Klinik Haram Diserbu Imigresen

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia telah menyerbu tiga klinik yang beroperasi secara haram di sekitar Lembah Klang yang dikendalikan oleh seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai 'Doktor Maleeq', dalam satu operasi malam kelmarin.


Operasi yang dijalankan pada jam 11.20 malam itu melibatkan serbuan serentak di tiga lokasi berasingan iaitu di Shah Alam, Sungai Buloh, dan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan selepas pemantauan dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat awam.


“Dalam operasi ini, enam individu berusia antara 23 hingga 57 tahun telah ditahan, termasuk lelaki yang dikenali sebagai 'Doktor Maleeq'. Turut ditahan ialah tiga wanita warga Myanmar yang bertugas sebagai pembantu klinik, serta masing-masing seorang wanita warga Pakistan dan India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hasil siasatan mendapati 'Doktor Maleeq' bukan sahaja tidak memiliki tauliah sah sebagai pengamal perubatan, malah telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.


Zakaria turut mendedahkan bahawa dua daripada wanita Myanmar tersebut menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala tiga lagi wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.


Dalam operasi berkenaan, pihak Imigresen turut menyita pelbagai barangan termasuk buku log pesakit, cop klinik, tiga pasport (Pakistan, India dan Myanmar), peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit milik klinik dan pakaian pengamal perubatan.


“Klinik tersebut dipercayai telah beroperasi selama setahun dan hanya membuka perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada warga asing pada waktu malam. Caj dikenakan sebanyak RM90 untuk setiap pesakit dan bayaran dibuat secara dalam talian,” jelasnya.


Kesemua suspek kini ditahan di Depoh Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Sementara itu, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina telah diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post