Robot AI Bantu Jemaah Haji di Masjidil Haram

 

MAKKAH, 22 Mei 2025 – Arab Saudi terus memperkenalkan inovasi teknologi dalam usaha memudahkan urusan jemaah haji apabila melancarkan versi terkini robot kecerdasan buatan (AI), Manarat Al-Haramain, di Masjidil Haram.


Menurut laporan Arab News, robot berteknologi tinggi itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada persiapan berterusan kerajaan Arab Saudi dalam meningkatkan pengalaman rohani dan kemudahan kepada jemaah haji dari seluruh dunia.


Robot yang dikemas kini ini dilancarkan oleh Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, dan direka bentuk dengan gabungan motif serta seni bina Islam tradisional yang diilhamkan daripada kedua-dua masjid suci tersebut.


Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), robot AI ini berfungsi sebagai pusat rujukan untuk pertanyaan berkaitan ibadah haji. Ia membolehkan jemaah membuat panggilan video terus kepada para mufti bagi mendapatkan jawapan terhadap persoalan keagamaan secara interaktif.


“Inisiatif ini memanfaatkan kemajuan teknologi canggih untuk memberikan kemudahan kepada jemaah, tanpa mengabaikan nilai keaslian dan warisan Islam,” kata kenyataan itu.


Robot Manarat Al-Haramain bukan sahaja memudahkan akses kepada maklumat ibadah haji, malah menjadi simbol gabungan antara tradisi dan kemodenan, seiring dengan misi kerajaan Arab Saudi dalam mentransformasikan perkhidmatan haji melalui teknologi pintar.


Ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima dijadualkan bermula pada 4 Jun dan berakhir 9 Jun 2025, dan ketibaan jemaah dari pelbagai negara telah pun bermula sejak awal bulan ini.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post