Suspek Kes Simbah Asid di Bachok Ditahan

 

KOTA BHARU, 22 Mei 2025 – Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian simbah asid terhadap seorang pengusaha spa di Beris Kubur Besar, Bachok pada Sabtu lalu telah ditahan polis malam tadi.


Difahamkan, suspek ditahan sekitar jam 10 malam di daerah Kuala Krai. Wanita terbabit dijangka akan dibawa ke Mahkamah Bachok pagi ini untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes buat masa ini.

“Segala maklumat terperinci mengenai siasatan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam masa terdekat,” katanya ringkas.


Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa, Nor Faziera Muda, 27, yang merupakan pengusaha sebuah spa, dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas disimbah asid oleh tiga individu berpakaian purdah. Mangsa terpaksa menjalani pembedahan selama enam jam susulan kecederaan yang dialami.


Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang giat mengesan suspek-suspek lain yang terlibat.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post