LANGKAWI, 20 Mei 2025 – Beberapa kediaman penduduk di Kampung Padang Wahid, Langkawi dilaporkan mengalami kerosakan apabila tingkap rumah mereka pecah dipercayai akibat impak dari latihan bom skala satu sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25), pagi Ahad.
Menurut seorang penduduk, Hizam Nadzri, 44, lebih 50 keping tingkap nako rumahnya pecah sekitar jam 8.50 pagi semasa sesi latihan berlangsung.
"Jarak rumah kami dengan lokasi latihan tidak sampai 500 meter. Ketika letupan berlaku, jiran-jiran menjerit kerana tingkap rumah mereka turut pecah. Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku walaupun LIMA telah beberapa kali dianjurkan sebelum ini," katanya kepada mStar.
Tambah Hizam, kejadian itu turut menjejaskan beberapa jiran termasuk adiknya, dan anggaran kerugian mencecah ratusan ringgit.
"Kami telah buat laporan polis dan memaklumkan kepada pihak penganjur. Sama ada akan ada pampasan, itu masih belum pasti, tapi saya difahamkan ada kemungkinan," jelasnya.
Menurut beliau, latihan berkenaan melibatkan kekuatan bom pada skala satu, dan hebahan awal memaklumkan latihan pembukaan rasmi kelak akan berada pada tahap skala tiga, iaitu lebih kuat.
Hizam turut menjelaskan bahawa dakwaan sesetengah pihak mengenai kerosakan berpunca daripada jet pejuang adalah tidak tepat.
"Berdasarkan maklumat yang kami terima, ia memang latihan bom, bukan latihan jet," katanya.
Kejadian itu turut dikongsikan adiknya, Farini Nadzri, menerusi satu video di TikTok yang memperlihatkan keadaan rumah yang rosak. Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang menggesa agar mereka membuat tuntutan pampasan.
"Buat laporan, nanti mereka akan datang bagi pampasan. Memang ada peruntukan untuk baiki rumah orang awam rasanya."
"Claim la kak, jangan tak claim. Kita tak rugi pun kalau buat tuntutan," tulis seorang pengguna TikTok.
Pameran LIMA'25 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Pulau Langkawi. Acara dwitahunan ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd, menghimpunkan aset ketenteraan dan maritim dari seluruh dunia.
Post a Comment