GORONTALO INDONESIA, 20 Mei 2025 — Usaha mengejar populariti di media sosial bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika merakam kandungan video bersama empat rakannya di Sungai Bolango, Sabtu lalu.
Menurut saksi kejadian, Ismet Niu, mangsa dikenali sebagai Fauzan Ghani adalah individu terakhir yang melompat ke dalam sungai selepas tiga rakannya melakukannya secara bergilir-gilir.
“Mereka berenang dahulu, kemudian melakukan aksi lompatan yang dirakam. Fauzan adalah orang terakhir melompat,” katanya.
Salah seorang saksi lain, Rony, berkata pada awalnya tiada sesiapa menyedari Fauzan sedang dalam kesulitan kerana dia sempat timbul di permukaan air.
“Mereka sangka dia selamat. Tapi selepas kelibatnya hilang dan tidak muncul semula, barulah mereka mula panik dan menjerit meminta tolong,” jelasnya.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk tempatan melancarkan operasi pencarian sejurus laporan dibuat. Pencarian turut melibatkan kawasan semak dan tebing di sepanjang aliran sungai.
Setakat jam 12.25 tengah hari waktu tempatan, mangsa masih belum ditemui. Bagaimanapun, pasukan penyelamat telah menemui sehelai baju dipercayai milik mangsa berhampiran lokasi terakhir dia dilihat.
Difahamkan, arus Sungai Bolango yang kebiasaannya tenang menjadi deras berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan peringatan mengenai risiko berlebihan dalam mengejar kandungan tular yang boleh mengundang tragedi, terutamanya apabila melibatkan aktiviti berisiko tinggi seperti terjun ke sungai atau berenang tanpa pemantauan keselamatan.
Pihak berkuasa tempatan menasihati orang ramai, khususnya golongan remaja dan ibu bapa, agar lebih berhati-hati dan peka terhadap bahaya di kawasan perairan terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Post a Comment