Niat Talak Dua, Tapi Lafaz Tiga Kali


 

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2025 – Pempengaruh media sosial, Khairul Aiman Abdul Kudus, atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kisah, mencetuskan kekecohan selepas video siaran langsung TikTok memaparkan dia melafazkan cerai sebanyak tiga kali terhadap isterinya, Siti Suriani Wahiddin atau Siti Jamumall.


Insiden yang berlaku pada awal pagi 15 Mei lalu menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya berpendapat lafaz berulang tersebut dikira sebagai talak tiga, meskipun Aiman mendakwa niat asalnya hanya untuk menjatuhkan talak dua.

“Niat talak dua tapi orang cakap dah jatuh talak tiga. Tunggu keputusan mahkamah,” jelas Aiman dalam satu sesi siaran langsung baru-baru ini.


Aiman, 22, turut menjelaskan situasi yang membawa kepada lafaz tersebut, dengan menyatakan bahawa dia ketika itu baru pulang dari kerja dan dalam keadaan letih. Namun, berlaku pertengkaran akibat tuduhan terhadapnya yang dikatakan melakukan perkara tidak senonoh.

“Masa tu baru balik kerja. Cuma nak minum air, tapi dituduh buat perkara bukan-bukan. Saya marah, itu yang terlafaz,” katanya.


Mengulas lanjut, pendakwah bebas PU Syed menegaskan bahawa dalam kes sebegini, hanya Mahkamah Syariah yang berhak menentukan status sebenar talak yang dilafazkan.

“Tak kira apa niat atau pandangan netizen, keputusan muktamad tetap di tangan mahkamah syariah,” katanya ketika dihubungi media.


Untuk rekod, pasangan ini pernah bercerai dan menghadiri prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei 2025, namun mengambil keputusan rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas lafaz cerai disahkan.


Pasangan ini juga berkahwin di Satun, Thailand pada Jun 2024, dan kini Siti Jamumall sedang hamil lima bulan hasil perkahwinan tersebut.


Aiman dalam masa sama mengakui kekesalan atas kegagalan rumah tangganya, menyatakan kurang ilmu agama menjadi punca utama konflik yang berlaku.

“Niat aku talak dua, ilmu tak ada. Kahwin lagi, Alif Ba Ta pun tak tahu. Gagal didik isteri, rumah tangga punah,” luahnya secara terbuka.


Siti Jamumall, 26, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 dan berpisah pada Disember 2022, serta mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post