Lelaki Sembur Cat Pada Muka dan Badan Monyet Undang Kecaman

 

SHAH ALAM, SELANGOR 24 Mei 2025 – Tindakan kejam seorang lelaki menyembur cat biru pada muka dan badan seekor monyet liar yang terperangkap dalam sangkar di kawasan perumahan Desa Moccis, U17 mengundang kemarahan orang ramai serta aktivis haiwan.


Insiden tersebut dirakam dalam sebuah video berdurasi satu minit yang kini tular di media sosial, memaparkan haiwan itu tidak mampu melarikan diri ketika disembur cat oleh lelaki terbabit, manakala seorang lagi lelaki dilihat hanya memerhati tanpa cuba menghalang.


Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan, menyelar perbuatan tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Perbuatan ini adalah pelanggaran serius di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 86, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mendera atau mencederakan hidupan liar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


SAFM turut menggesa saksi kejadian tampil membuat laporan kepada pihak polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membolehkan siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.

“Perbuatan zalim ini tidak boleh dibiarkan. Kami mendesak Perhilitan menyiasat dan mengambil tindakan menyeluruh untuk memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan,” tegas Kalaivanan.


SAFM menekankan bahawa tiada kompromi dalam soal penderaan terhadap haiwan, khususnya hidupan liar yang dilindungi, dan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes ini secara dekat.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post