Wei Chong-Kai Wun ke Final, Tamatkan Badi Jepun

 

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, menepati ramalan apabila melangkah ke final Malaysia Masters 2025, sekali gus menyamai pencapaian mereka dua tahun lalu.


Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Axiata Arena, pasangan pilihan kelima kejohanan itu mempamerkan prestasi mantap apabila menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-12, 21-14 dalam masa 31 minit.


Kemenangan itu bukan sahaja membawa mereka ke pentas final, malah menamatkan badi kekalahan kepada pasangan di ranking ke-20 dunia itu selepas dua kekalahan sebelum ini di Kejohanan Badminton Asia 2023 dan Seluruh England 2022.


"Kami gembira akhirnya berjaya menewaskan mereka. Ini suntikan keyakinan besar untuk final esok," kata Wei Chong dalam reaksi ringkas kepada media selepas perlawanan.


Kemenangan ini turut membuka peluang untuk meraih gelaran kedua musim iniselepas muncul juara di Masters Indonesia 2025 Januari lalu, dengan menewaskan gandingan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 21-11, 21-19 di final.


Wei Chong-Kai Wun kini menunggu lawan di final, sama ada satu lagi pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, atau beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, yang akan berentap dalam separuh akhir kedua malam ini.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post