KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 – Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah lif apartmen, minggu lalu.
Tertuduh, Sohanur Rahman Anik, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa dengan niat seksual di dalam dan luar lif di sebuah unit apartmen di Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Sentul, kira-kira jam 10.39 malam, 21 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan bahawa lelaki itu merupakan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan berisiko melarikan diri. Tertuduh tidak diwakili peguam dalam prosiding hari ini.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan dokumen berkaitan dikemukakan pihak pendakwaan.
Post a Comment