Polis Gombak Tumpas Dua Sindiket Dadah


 

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 – Polis Gombak berjaya melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah itu baru-baru ini, melibatkan rampasan dadah bernilai lebih RM7.1 juta.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu membawa kepada penahanan tiga individu, termasuk seorang lelaki dan wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing.


Dalam serbuan pertama pada 14 Mei lalu, polis merampas 212 bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu seberat 222,331 gram yang ditinggalkan dalam sebuah Toyota Vios di sebuah gudang penyimpanan sekitar jam 9.30 malam.


Menurut Noor Ariffin, nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan RM7,114,592, dipercayai untuk pasaran Lembah KlangSeorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai, ditahan dan direman selama 12 hari sehingga 23 Mei.


Polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita seutas rantai emas bernilai RM11,348.86.


Dalam kes kedua pada 21 Mei, polis menahan sepasang kekasih lelaki warga asing berusia 34 tahun dipercayai pelajar kolej swasta, dan wanita tempatan berusia 47 tahun yang bekerja sebagai eksekutif insurans dalam sebuah Honda City sekitar 6 pagi.


Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan dua paket daun kering mampat, dipercayai ganja seberat 2,072 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM6,423.20.


Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 Jun dan polis turut menyita wang tunai sebanyak RM500 di bawah Akta Pelucuthakan Harta. Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keputusan saringan air kencing adalah negatif.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post