Bapa dan Anak Maut, Hilux Terjunam Ke Gaung

 

SEGAMAT, 31 Mei 2025Tragedi menyayat hati berlaku apabila seorang lelaki dan anak perempuannya maut manakala empat lagi ahli keluarga cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kampung Kwongsai, Jalan Segamat–Labis, petang semalam.


Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Fitri Md Said, 39, dan anaknya Nurin Insyirah Mohd Fitri, 9, manakala isteri serta tiga anak yang lain mengalami kecederaan.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Che Deraman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 petang, memaklumkan kejadian membabitkan sebuah Toyota Hilux yang terjunam ke dalam gaung.

"Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai. Sebaik tiba, kami dapati dua mangsa tersepit di bawah kenderaan, manakala empat lagi berjaya keluar sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas seperti Hydraulic Ramp bagi menstabilkan kenderaan sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa. Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang hadir.


Mangsa yang cedera ialah Nurain Farhana Johari, 32 (isteri), serta tiga anak mereka:

  • Muhammad Zikri Mohd Fitri, 11
  • Nur Hisna Mohd Fitri, 4
  • Nur Atiya Mohd Fitri, 2


Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut. Mayat dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan punca kemalangan sedang dijalankan.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post