SLIM RIVER, 20 Mei 2025 – Seorang lelaki maut manakala empat yang lain cedera dalam satu kemalangan melibatkan sebuah treler, dua lori lima tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan, antara Sungkai dan Slim River, pada malam Isnin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.
“Mangsa yang maut merupakan pemandu treler berusia 40 tahun yang membawa muatan batu kapur dari Simpang Pulai, Ipoh. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kepala lori,” katanya dalam satu kenyataan.
Empat individu lain mengalami kecederaan, termasuk dua lelaki tempatan berusia 28 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori lima tan yang membawa muatan paip. Mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
Seorang lagi pemandu lori lima tan yang membawa muatan motosikal turut cedera di bahagian kaki. Sementara itu, pemandu dan penumpang kenderaan Toyota Unser, masing-masing berusia 37 dan 32 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat melibatkan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dan BBP Bidor, menggunakan dua jentera FRT dan satu unit EMRS bagi membantu mangsa yang tersepit serta mengawal situasi di lokasi kejadian.
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil untuk membantu siasatan.
Post a Comment