Pembeli Trauma Selepas Temui Daun Pisang Berkulat Balut Pulut Sambal

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Kegembiraan seorang wanita menikmati pulut sambal bertukar menjadi pengalaman menjijikkan selepas mendapati bungkusan daun pisang makanannya kotor dan dipenuhi kulat serta serangga.


Wanita yang dikenali sebagai Siti meluahkan rasa kecewa dalam satu video di akaun TikTok miliknya, @sity_187, selepas membeli sebungkus pulut sambal dari seorang peniaga.


Dalam video berkenaan, jelas kelihatan daun pisang yang membaluti pulut sambal tersebut dalam keadaan amat kotor, dipenuhi habuk, tompok putih, sarang ulat kepompong serta kulat.


“Saya dah makan satu pulut sambal sebelum sedar daun dia kotor gila. Bila buka satu lagi bungkusan, saya jumpa makhluk hitam macam ulat. Memang trauma,” katanya dalam hantaran itu.


Siti turut menyifatkan tindakan peniaga yang mengabaikan aspek kebersihan sebagai tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila ia melibatkan makanan yang dijual kepada orang awam.

“Kalau dah tahu diri tu pengotor dan pemalas, tolong jangan jual makanan. Takkan masa balut pulut tu tak nampak keadaan daun pisang tu?” katanya lagi.


Insiden ini mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan ramai menyokong pandangannya dan menekankan kepentingan kebersihan dalam penyediaan makanan, terutama makanan tradisional yang masih menggunakan pembungkus semula jadi seperti daun pisang.


Pakar kesihatan awam menyarankan pengguna agar lebih berhati-hati ketika membeli makanan di luar. Antara langkah yang boleh diambil termasuk memerhati tahap kebersihan gerai atau dapur, serta membaca ulasan pengguna lain, terutamanya ketika membeli makanan secara dalam talian.


Pengguna juga digesa melaporkan kes seumpama ini kepada pihak berkuasa kesihatan atau pihak berkuasa tempatan bagi memastikan peniaga yang melanggar piawaian kebersihan diambil tindakan sewajarnya.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post