KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kota Bharu, Kelantan, atas pertuduhan menikam abangnya sendiri dalam satu kejadian pada 1 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Izwan Sukarnor, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, Izwan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abangnya, Mohd Fakhran, 40, dengan menggunakan senjata berupa tulang ekor pari. Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Beris Kubur Besar, Bachok, sekitar jam 9.30 pagi.
Kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan. Di bawah Seksyen 326A, pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli. Tertuduh bagaimanapun tidak diwakili oleh peguam bela.
Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Post a Comment