Siti Jamumall dan 'Aiman Tak Kisah' Bercerai Kali Kedua, Lafaz Talak Secara Langsung di TikTok




KUALA LUMPUR – Belum genap sebulan selepas kembali rujuk, pasangan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall dan suaminya yang dikenali sebagai ‘Aiman Tak Kisah’, kembali berpisah selepas suaminya melafazkan cerai untuk kali kedua, awal pagi Khamis.


Lafaz talak dibuat oleh Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang dikendalikan isterinya, Siti Suriani Wahiddin, 26, atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall. Rakaman insiden tersebut kemudiannya tular dan dikongsi semula di pelbagai platform media sosial.


Dalam rakaman tersebut, pasangan itu dilihat bertengkar sebelum Khairul Aiman melafazkan:
“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court.”


Difahamkan, lafaz cerai itu diulang sebanyak tiga kali sebelum siaran langsung dihentikan secara tiba-tiba. Ketika pertengkaran, Aiman turut menyentuh mengenai laporan portal mStar, dipercayai merujuk kepada temu bual terdahulu berkenaan penceraian pertama mereka pada 6 Mei lalu.


Selepas kejadian, Siti Jamumall dilihat dalam keadaan emosi dan ditenangkan oleh dua individu lain yang berada bersamanya.


Untuk rekod, pasangan tersebut pernah bercerai sebelum ini dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 6 Mei lalu bagi pengesahan lafaz cerai. Namun, mereka memutuskan untuk kembali rujuk kurang 24 jam selepas itu.


Siti Jamumall kini sedang hamil lima bulan hasil perkahwinannya bersama Aiman. Mereka difahamkan mendirikan rumah tangga di Satun, Thailand pada awal Jun 2024.


Perkahwinan ini merupakan yang kedua bagi Siti Jamumall, yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019 sebelum bercerai pada Disember 2022. Hasil perkahwinan terdahulu, beliau dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.

0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post