NILAI, NEGERI SEMBILAN: Dua penjenayah yang dipercayai aktif terlibat dalam lebih 70 kes samun maut ditembak polis dalam satu insiden berbalas tembakan di kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pihak polis menjalankan operasi mengejar dua suspek lelaki berusia 29 dan 40 tahun sekitar kawasan Nilai sebelum berjaya memintas mereka di lokasi kejadian. Insiden berakhir dengan tembakan dilepaskan oleh suspek, memaksa anggota polis bertindak balas demi mempertahankan diri.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, memaklumkan bahawa kedua-dua suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan tiada anggota polis mengalami kecederaan.
“Siasatan mendapati suspek adalah ahli kumpulan penjenayah bersenjata yang aktif dalam kegiatan samun pecah rumah, kilang dan pusat pengumpulan barangan J&T, serta terlibat dalam pengedaran dadah di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
"Suspek berusia 29 tahun mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala suspek berusia 40 tahun memiliki sebanyak 76 rekod jenayah termasuk dikehendaki polis,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Menurut Fadil, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, berdasarkan penggunaan senjata api dalam jenayah yang dilakukan.
Tambah beliau, kawasan tembakan dipercayai merupakan salah satu lokasi persinggahan kumpulan berkenaan, dan pihak polis sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat persembunyian suspek.
Berikutan kejadian tersebut, pihak polis akan meneruskan operasi memburu saki baki ahli kumpulan terbabit serta menjalankan beberapa siri serbuan dan rampasan berkaitan aktiviti jenayah kumpulan itu.
Post a Comment