Kemalangan Tragis Budak Sekolah



RANTAU PANJANG, KELANTAN: Perjalanan pulang empat sekeluarga dari sekolah bertukar tragedi apabila motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kejadian langgar lari pada tengah hari Khamis.


Kemalangan berlaku sekitar jam 1.00 petang di Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang, melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 42 tahun bersama tiga kanak-kanak yang merupakan anak dan anak saudaranya.


Menurut kakak ipar mangsa, Rosilawati Md Noor, 48, adik iparnya, Mohd Fakhrazi Mat Zain, ketika itu sedang membonceng anak bongsunya, Muhammad Uwais yang berusia tiga tahun, selepas mengambil dua lagi anak saudaranya – seorang lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berusia lapan tahun – pulang dari sekolah.


Memetik laporan Harian Metro, Rosilawati berkata mereka menaiki sebuah motosikal sebelum dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Persona yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian.


“Adik ipar saya masih belum sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di hospital. Namun, anak bongsunya disahkan meninggal dunia akibat kemalangan itu,” katanya.


Tambah Rosilawati lagi, dua anak saudara yang turut terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.


Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa satu video yang menunjukkan insiden berkenaan telah tular dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut.


Video tersebut menunjukkan mangsa-mangsa terbaring di atas jalan selepas kemalangan sebelum dibantu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.


0 Comments

Post a Comment

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post