IPOH: Pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas tragik yang meragut sembilan nyawa rakan setugasnya pada Selasa lalu meluahkan rasa bersalah dan kesedihan mendalam atas insiden tersebut.
Isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkata suaminya, Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, hanya mengetahui sepenuhnya mengenai kemalangan berkenaan selepas sedar daripada rawatan dan dimaklumkan tentang kematian rakan-rakannya semalam.
“Dia baru mengetahui sembilan rakan setugasnya terkorban. Dia menangis dan meluahkan rasa amat bersalah serta menyalahkan dirinya sendiri atas apa yang berlaku. Dia juga memohon maaf kepada rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi.
Nor Ain memaklumkan, suaminya turut membuat panggilan video kepada Koperal Nizam Tarmizi bagi menyampaikan permohonan maaf, selain bertemu secara peribadi dengan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli untuk tujuan yang sama.
Menurutnya, meskipun dihimpit kesedihan, rakan-rakan setugas Mohd Harrisul tetap hadir memberikan sokongan moral agar beliau tidak terus dilanda rasa bersalah.
Mengulas lanjut keadaan suaminya, Nor Ain memaklumkan bahawa Mohd Harrisul yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan menunjukkan perkembangan positif selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa tulang rusuk patah.
“Alhamdulillah, dia sudah sedar sepenuhnya dan boleh berjalan ke tandas sendiri. Namun, apabila ditanya tentang kejadian tersebut, dia tidak ingat apa-apa kerana hanya sedar selepas berada di hospital,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi, trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).
Post a Comment